Madani News

ASEAN, China komited perkukuh perdagangan serantau

ASEAN dan China akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan halangan perdagangan antara kedua-dua pihak bagi memastikan aliran dagangan yang lebih lancar dan berkesan di rantau ini.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu akan menjadi antara keutamaan dalam perbincangan sempena Sidang Kemuncak ASEAN-China, yang turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0.

“Ini merupakan satu perkara yang amat baik bagi negara-negara ASEAN untuk menyelaras perdagangan sesama ASEAN dan antara China.

“Kita juga akan terus mengadakan sidang kemuncak bersama Australia dan New Zealand bagi melihat cara menurunkan halangan-halangan perdagangan di antara ASEAN dan China supaya tidak ada pertindihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, hari ini.

Tambahnya, butiran lanjut mengenai ACFTA 3.0 akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media yang dijadual berlangsung petang ini.

Sebelum ini, Anwar menyifatkan ACFTA 3.0 sebagai pencapaian penting yang akan membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik ASEAN dengan China serta memperkukuh daya tahan ekonomi serantau secara kolektif.

Penambahbaikan FTA 3.0 dijangka membuka laluan baharu dalam memperluas pasaran, menyelaras dasar perdagangan, serta memperkukuh daya saing ekonomi ASEAN di peringkat antarabangsa.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 memasuki hari terakhir hari ini dengan sesi bilateral dan beberapa sidang kemuncak diteruskan termasuk sidang kemuncak peringatan ASEAN New Zealand dan sidang kemuncak ASEAN Australia akan dipengerusikan Perdana Menteri.

Back to top button