
Azalina pertikai ‘survey’ Pemuda UMNO keluar kerajaan
DAPATAN Pemuda UMNO yang dibentangkan pada Konvensyen Khas sayap itu bagi menggesa parti itu keluar kerajaan dipertikai Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, beliau keliru dengan kaji selidik dikatakan melibatkan ‘1,800 responden’ apakah ia membabitkan ahli UMNO.
“Saya pelik, 1,800 ‘survey’ itu dibuat ke atas siapa. Wakil rakyat, ahli biasa, Adun atau Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
“Saya sendiri tidak tahu sama ada mereka sudah disurvey atau tidak,” katanya dipetik Malaysiagazette.
Azalina diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh pada Sabtu yang menyeru parti itu keluar daripada kerajaan perpaduan.
Dr Akmal menggesa supaya UMNO mengepalai penyatuan ummah bersama PAS dengan menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN).
Mengulas lanjut, Azalina menegaskan pandangan Dr Akmal bersifat peribadi dan tidak boleh dianggap pendirian rasmi parti.
“Itu pandangan dia. (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Khaled Nordin pun kata itu pandangan peribadi,” katanya.
Azalina turut menegaskan sebarang keputusan besar melibatkan hala tuju parti perlu dibincangkan secara tertib dan berperingkat menerusi struktur parti.
“Kalau nak bercerai atau nak nikah balik, mesti ada masa iddah. Tak boleh hari ini cakap nak cerai, semalam dah lafaz. Kena bincang betul-betul,” katanya.


