
RM200 juta untuk baik pulih sekolah agama rakyat
DANA segera berjumlah RM200 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pembaikan sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz yang daif pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diminta mengadakan rundingan bersama sekolah-sekolah terbabit berhubung perkara itu.
“Tetapi bila kita lihat laporan sekolah agama rakyat, keadaannya paling daif berbanding semua sekolah di negara kita. Walaupun ia tidak termasuk dalam skim sekolah mengikut dasar pelajaran kebangsaan, terdapat lebih 300,000 pelajar daripada sekolah agama rakyat.
“Perdana Menteri dulu batalkan semua bantuan dan ini mendera anak-anak. Jadi, kita minta sekarang JAKIM untuk runding dengan sekolah ini, baiki kurikulum, mutu pelajaran, mutu guru supaya terlatih.
“Dan kita sediakan dana untuk memperbaiki kemudahan sekolah ini, cecah ribuan ringgit. Kita sediakan (dana) sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz sebanyak RM200 juta peruntukan segera,” katanya ketika berucap pada amanat tahun baru di Putrajaya hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan turut meningkatkan peruntukan terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebanyak RM80 juta berbanding RM50 juta tahun lalu.
“Untuk sekolah SJKC, dana itu dilaksanakan sekarang. Ada juga sekolah tersebut menempatkan anak-anak Bumiputera dan India. Dulu, kita sediakan RM50 juta, kini RM80 juta untuk SJKC.
“Bagi sekolah Tamil pula, walaupun jumlahnya kecil, terdapat sekolah yang daif, dan kita sediakan RM50 juta,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika menyampaikan amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Turut hadir, barisan Menteri Kabinet termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.


