Malaysian News

Hannah ‘buka pintu’ untuk SPRM siasat semua agensi JPW

SEMUA agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) akan memberi kerjasama penuh dan membuka ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan serta penilaian tatakelola sebagai langkah memperkukuh integriti dan keyakinan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ditadbir dengan lebih telus memandangkan agensi berkenaan berurusan secara langsung dengan jutaan rakyat setiap masa.

“Selalunya SPRM hadir mendapatkan fail selepas bekas menteri mahupun bekas pengarah disiasat tetapi (selepas ini) kita mahu membuka pintu lebih awal.

“Kita menjemput SPRM masuk bersama dan memberikan saranan kepada kita dan kita mengambil saranan itu dengan serius untuk melaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pemeteraian Nota Kerjasama antara SPRM, di ibu negara, hari ini.

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM sebelum ini telah menjalankan siasatan penambahbaikan tatakelola di DBKL dan mengemukakan beberapa cadangan bagi menutup risiko serta ruang berlakunya rasuah dalam pentadbiran agensi berkenaan.

SPRM turut mengesyorkan sebanyak 20 langkah penambahbaikan kepada DBKL bagi memperkemas tadbir urus dan mengelakkan ketirisan yang dikenal pasti membabitkan lima isu utama.

Menurut kenyataan SPRM, lima isu tatakelola itu merangkumi pengurusan pelaksanaan projek penerbitan kandungan siaran Studio Radio (Bahan Kreatif) serta tadbir urus penganjuran Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia 2023 (SUKANUN Ke-12).

SPRM memaklumkan syor penambahbaikan berkenaan dibentangkan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) hasil pemerhatian dan siasatan terhadap prosedur sedia ada yang dilaksanakan oleh DBKL.

Cadangan tersebut disambut baik oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, yang menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan, selain meningkatkan tahap kecekapan serta integriti DBKL.

Back to top button