Madani News

MCI pemacu transformasi TVET: Malaysia-China perkukuh kerjasama teknologi tinggi

HUBUNGAN diplomatik antara Malaysia dan China kini memasuki fasa baharu menerusi pengukuhan kerjasama pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET). Melalui penubuhan Malaysia-China Institute (MCI), kedua-dua negara komited melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi tuntutan industri masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa MCI bakal menjadi platform strategik untuk pertukaran kepakaran, latihan pengajar (training of trainers), serta pemindahan teknologi berimpak tinggi.

Sebagai permulaan, operasi MCI akan berpangkalan di fasiliti GIATMARA Bagan Datuk.

Walau bagaimanapun, perancangan jangka panjang telah diatur dengan pembangunan sebuah kampus tetap yang lebih gah.

“Penubuhan MCI berpotensi menjadi platform strategik bagi memperkukuh pertukaran pengetahuan dan kepakaran, selari dengan keperluan industri masa hadapan,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagi memastikan kelancaran inisiatif ini, kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja Bersama.

Selain itu, program mobiliti bagi pelajar dan tenaga pengajar akan dilaksanakan bagi memberi pendedahan global serta memperkukuh pembangunan bakat dalam sektor-sektor berimpak tinggi.

Langkah ini dilihat sebagai pelaburan bijak kerajaan dalam memastikan graduan TVET tempatan bukan sahaja relevan di pasaran domestik, malah kompetitif di peringkat antarabangsa.

Back to top button