Malaysian News

Universiti tidak harus sekadar menjadi kilang mengeluarkan tenaga kerja- PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya hanya diukur melalui persaingan teknologi semata-mata, sebaliknya wajib mencakupi pemerkasaan insan yang utuh dan beradab.

Bercakap di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) semalam pada program Temu Anwar, beliau memberi amaran mengenai gejala “barbarism of specialization”—seperti yang diutarakan ahli falsafah Sepanyol, José Ortega y Gasset.

Fenomena ini merujuk kepada kelahiran generasi yang mahir dalam bidang teknikal namun “kontang jiwa” serta hilang kefahaman terhadap sejarah dan nilai kemanusiaan.

Menurut Anwar, universiti mempunyai peranan besar untuk berfungsi sebagai taman ilmu, bukannya sekadar kilang yang mengeluarkan tenaga kerja secara mekanikal.

“Kepimpinan masa depan tidak boleh dibina atas dasar kebencian atau keangkuhan intelektual; ia harus berakar pada ihsan dan rasa tanggungjawab kepada leluhur negara,” tegas beliau.

Menyentuh mengenai arus kecerdasan buatan (AI), Perdana Menteri mengingatkan agar kemajuan tersebut tidak menjadikan manusia “asing” kepada diri sendiri.

Beliau menyeru agar masyarakat, khususnya anak muda, tetap berpijak di bumi nyata dengan nilai tradisi sambil mendepani kemajuan masa hadapan.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaan anak muda Malaysia untuk menolak pemikiran ekstrem yang memicu pertelingkahan, demi membina sebuah Malaysia Madani yang harmoni dan matang secara intelektual.

Back to top button