
BN Sabah adalah untuk orang Sabah – Zahid
BARISAN Nasional (BN) Sabah untuk orang Sabah, tegas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN itu menafikan dakwaan serta andaian lawan kononnya parti itu bukan pilihan rakyat Sabah dengan menyifatkan golongan berkenaan adalah bankrap politik.
“Sabah untuk orang Sabah. BN Sabah adalah untuk orang Sabah. Mereka yang bankrap politik membuat pelbagai andaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN PRN Sabah di Grand Ballroom Sutera Harbour di Kota Kinabalu, hari ini.
Turut serta Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), serta pimpinan parti yang lain.
Ahamd Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, gelombang biru akan terus melakar di bumi Sabah apabila BN melancarkan jentera Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Sabah dengan semangat baharu dan tekad untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Jelasnya, pelancaran jentera di Sabah bukan sekadar simbol kekuatan, tetapi tanda kebangkitan semula BN selepas berdepan fitnah dan pelbagai tohmahan yang menyebabkan kekalahan lalu.
“Akibat fitnah dan lontaran pelbagai tohmahan kepada BN, kita pernah kecundang. Namun hari ini, UMNO/BN bangkit semula bersama rakan-rakan parti yang lain seluruh Sabah,” katanya.
Ahmad Zahid menambah, sambutan luar biasa terhadap pelancaran jentera kali ini membuktikan semangat ahli dan penyokong BN semakin membara berbanding PRN lalu.
“Ini isyarat jelas bahawa jentera kita sudah bersedia. BN bangkit semula di Sabah untuk memberikan keselesaan kepada seluruh rakyat. Kita mahu segala yang membelenggu rakyat Sabah dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menggariskan tekad BN di bawah slogan “Bikin Balik Sabah” untuk memulihkan semula pelbagai aspek termasuk ekonomi, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita mesti ‘bikin balik Sabah’… bikin balik ekonomi, bikin balik perpaduan, dan bikin balik masa depan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRU17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan (DU) Sabah.


