Malaysian News

Berjasa nafi Hamzah bakal kemudi parti

PARTI Berjasa menafikan dakwaan kononnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berpotensi mengambil alih parti itu susulan pemecatannya daripada parti Bersatu.

Ketua Penerangannya, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, parti itu kekal utuh di bawah kepimpinan Majlis Kepimpinan Tertinggi yang dipilih dan dilantik secara sah menurut Perlembagaan parti.

Menurutnya, tiada sebarang perbincangan rasmi atau pertemuan khusus berhubung dakwaan berkenaan setakat ini.

“Namun demikian, Berjasa sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi memperkukuh agenda kesatuan dan penyatuan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bekas Ketua Sayap Bersatu, Datuk Dr Chong Fatt Full menjangkakan Hamzah berpotensi mengambil alih Berjasa sebagai wadah politik baharu.

Katanya, jangkaan itu dibuat berdasarkan situasi politik semasa yang tidak memberi banyak ruang kepada Hamzah untuk menubuhkan parti baharu, terutama ketika negara menghampiri siri Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum.

Sabtu lalu,  Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan beliau kini menjadi penentang utama kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, pendirian berkenaan diambil kerana beliau tidak memahami sebab pemecatannya daripada parti itu.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).

“Saya ingin memaklumkan kepada semua yang mendengar hari ini, saya tidak tahu kenapa saya dipecat.

“Hari ini saya dipecat kerana didakwa tidak mengawal perkara yang saya sendiri tidak tahu… hantu apa yang ada dalam parti ini?

“Cukuplah… Dalam PAT, saya bangun sebagai penyokong nombor satu kepada presiden. Hari ini, saya ingin nyatakan, saya penentang nombor satu kepada presiden parti,” katanya.

Back to top button