Madani News

Anwar seru rakyat perkukuh keharmonian sempena Tahun Baharu Cina

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menjadikan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini sebagai momentum untuk memperkukuh keharmonian dan menolak sebarang bentuk hasutan yang boleh memecahbelahkan kaum.

Membawa semangat Tahun Kuda, beliau menekankan bahawa nilai ketekunan, keberanian, dan semangat juang perlu diseimbangkan dengan kebijaksanaan serta kesederhanaan dalam setiap tindakan.

Dalam perutusan beliau, Anwar memetik falsafah Confucius yang menyatakan bahawa keharmonian sebenar hanya akan lahir apabila manusia saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

“Inilah asas yang memungkinkan masyarakat berbilang kaum di negara kita hidup bersama secara aman, meskipun wujud perbezaan latar budaya dan kepercayaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mengulas mengenai landskap wacana awam masa kini, Perdana Menteri meluahkan kebimbangan terhadap kecenderungan emosi dan hasutan yang mudah mengganggu gugat ketenteraman.

Beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan tidak sepatutnya menjadi punca keretakan hubungan yang telah lama terbina.

Mengakhiri perutusan tersebut, beliau menaruh keyakinan tinggi bahawa Malaysia akan terus makmur sekiranya nilai-nilai murni ini dijadikan teras kehidupan bermasyarakat.

Back to top button