Madani News

Anwar seru umat Islam tingkatkan ketakwaan sempena Ramadan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kesempatan buat seluruh umat Islam untuk kembali menyambut bulan Ramadan yang mulia bagi tahun ini.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, Anwar menekankan bahawa ibadah puasa dan amalan sepanjang Ramadan bukan sekadar memenuhi tuntutan rukun, sebaliknya membawa matlamat yang lebih mendalam dalam mencapai hikmah syariat.

Menurut beliau, intipati utama di sebalik bulan yang dirindui ini adalah pembentukan watak yang berpaksikan ketakwaan.

“Puncak kenikmatan di sebalik amalan ini adalah pencapaian takwa yang harus dilaksanakan dengan ibadah puasa melalui proses tarbiyah pembentukan watak, berakar kepada kesedaran hati nurani dan kewaspadaan batin,” ulas beliau.

Beliau turut menambah bahawa semangat mujahadah (perjuangan jiwa) dalam melaksanakan ibadah bukan sahaja bertujuan mengejar ganjaran akhirat, malah berfungsi sebagai ejen dalam meningkatkan disiplin kendiri seseorang Muslim.

Umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa pada Khamis, 19 Februari 2026.

Pengumuman rasmi tarikh bermulanya 1 Ramadan itu dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad semalam.

Ketetapan tersebut dibuat menurut titah perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim setelah mendapat perkenan daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Back to top button