
Roboh rumah anutan haram di Rawang bukan isu agama
RUMAH anutan haram yang dibina di atas tanah milik Yayasan Kubra di Rawang berjaya dirobohkan mengikut prosedur tanpa sebarang rusuhan pagi tadi.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, proses itu dilakukan dengan menghormati agama lain selain turut disertai individu bukan Islam.
Beliau berkata, proses merobohkan struktur rumah ibadat itu dilakukan dengan pemantauan pihak polis.
“Gerakan ini melibatkan ramai orang Islam dan juga bukan Islam. Ia hasil dari pelbagai mesyuarat dan cadangan pelbagai pihak.
“Semasa meruntuhkan rumah anutan haram tersebut, kita masih menghormati agama lain. Buktinya kita tidak memecahkan patung-patung sembahan mereka.
“Kita cuma alihkan sahaja kedudukan mereka dan kemudiannya mereka membawa patung-patung tersebut ke tempat lain.
“Jadi ini bukan isu agama. Pihak yang membangkitkan isu agama dan perkauman itulah yang sebenarnya rasis. Rumah anutan yang mengikut undang-undang kita tak pertikaipun malah Islam melindungi kebebasan beragama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Perobohan rumah anutan yang mencetuskan kontroversi itu selesai dilakukan sekitar pukul 5 pagi tadi.
Kerja merobohkan struktur rumah anutan itu dilakukan oleh sekumpulan NGO serta peguam dan turut disertai pemilik tanah.
Sementara itu, Zainul menjelaskan jemputan gotong-royong petang ini bagi membersihkan tanah milik Yayasan Kubra itu.
“Saya cuma boleh kata jemputan jam 5 petang itu untuk gotong royong membersihkan tanah Yayasan Kubra (termasuk membersihkan saki baki rumah struktur rumah anutan haram) kita tak kata pukul 5 untuk robohkan rumah anutan haram.
“Lagipun kalau ramai sangat datang nanti kita tak boleh kawal. Biarlah strategi dirancang oleh kumpulan yang kecil kerana kami juga mengambil kira beberapa kemungkinan termasuk isu perundangan,” katanya


