
Agong gering batal berangkat ke majlis rasmi dijadualkan
ISTANA Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kini berada dalam keadaan gering susulan kesakitan musculoskeletal yang dialami Baginda.
Kesakitan itu melibatkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul.
Oleh itu, Seri Paduka Baginda dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan.
“Disebabkan Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani rawatan susulan, Seri Paduka Baginda tidak dapat berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Perwakilan Asing dan Pegawai Kanan Kerajaan di Istana Negara pada Rabu.

“Selain itu, majlis perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim, Khamis turut ditangguhkan ke suatu tarikh yang lain,” kata Istana Negara dalam kenyataan hari ini
Menurut kenyataan itu lagi, Sultan Ibrahim bertitah hanya akan kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi sebaik kesihatan Baginda beransur pulih.


