Malaysian News

Lelaki dikhuatiri lemas di Empangan Sultan Azlan Shah, disyaki terlibat curi kabel TNB

LELAKI dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta, awal pagi Jumaat, dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.40 pagi berhubung kejadian mencuri kabel di kawasan pencawang TNB di empangan berkenaan.

“Selang kira-kira 10 minit kemudian, Balai Polis Tanjung Rambutan menerima maklumat daripada Balai Polis Tambun berhubung kejadian seorang lelaki dipercayai lemas berhampiran lokasi sama.

“Individu yang dikhuatiri lemas itu disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel pencawang TNB sebelum terjatuh ke dalam empangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, seorang lagi lelaki yang dipercayai turut terlibat berjaya diselamatkan ketika terperangkap di tebing empangan sebelum ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Terdahulu, media pada Jumaat melaporkan, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan mangsa yang masih hilang berusia 32 tahun, manakala lelaki yang terselamat berusia 34 tahun.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan oleh pasukan bomba, namun usaha berdepan cabaran berikutan kawasan empangan berkenaan dikategorikan sebagai lokasi berisiko tinggi.

Back to top button