Madani News

Anwar dedah komplot jatuhkan kerajaan berpakat dengan Zionis

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu Dewan Rakyat wujud satu komplot terancang yang melibatkan warga tempatan dan tokoh Zionis antarabangsa dalam usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Madani pimpinannya.

Mendedahkan perkara itu semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Anwar menjelaskan bahawa gerakan tersebut bukan sahaja disokong oleh dana yang sangat besar dari luar negara, malah telah mengatur strategi rapi sejak Ogos 2024 sehingga ke tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau meminta semua pihak agar tidak terburu-buru mempertahankan pihak tertentu kerana siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penglibatan kelompok yang jelas memusuhi Islam.

“Kalau esok tahu orang yang nak dipertahankan itu adalah di antara kelompok Zionis terkemuka… digunakan dalam program ini, projek ini.

‘Tunggu sabar seminggu dua, bila keadaan ini terbongkar, boleh diceritakan. Apa kita nak pilih nak pertahan?

“Tak ada orang lain dalam dunia untuk pertahankan kedudukan kita selain merujuk kepada tokoh Zionis ini yang memang jelas menentang Islam dan negara yang mempertahankan Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dibangkitkan
Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau).

Mengulas lanjut, Anwar memperincikan bahawa siasatan mendapati sudah ada enam siri pertemuan sulit yang berlaku sepanjang tahun 2025, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Komplot ini didakwa tercetus susulan tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat kes rasuah berskala besar melibatkan tokoh-tokoh tertentu.

Antara strategi licin yang dikesan adalah cubaan memanipulasi media antarabangsa, termasuk memetik nama agensi berita Bloomberg, untuk membina naratif bagi mempertikai kewibawaan kerajaan dan sistem perundangan negara.

Lebih membimbangkan, dokumen yang diperolehi menunjukkan terdapat rancangan untuk menggunakan pengaruh dalam kalangan ahli Parlimen bagi mengancam kestabilan kerajaan dari dalam Dewan.

“Strategi mereka adalah untuk menghubungi media asing, menggunakan hubungan dengan negara luar bagi memberi naratif mempertikai kewibawaan Malaysia dan mengatur gerakan melalui Parlimen. Disebut di situ untuk utilise contact among Parliamentarians untuk menggugat.”

Menurut Perdana Menteri, pihak PDRM kini telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Beliau menegaskan bahawa isu ini bukan soal politik kepartian semata-mata, tetapi melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara yang perlu dipandang serius oleh semua pihak sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.

Back to top button