Malaysian News

Rumah Bangsa: Hadi patut guna bahasa lebih sopan – Tok Mat

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan membidas penggunaan “bahasa kesat” oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap parti tonggak Melayu itu berhubung Rumah Bangsa.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, pada bulan Ramadan Hadi sepatutnya menggunakan bahasa yang baik dan sopan.

Beliau bagaimanapun menegaskan UMNO tidak terkesan dengan label “rumah hantu” yang diberikan pemimpin PAS itu.

“Beliau (Hadi) sepatutnya menggunakan bahasa yang baik terutama dalam bulan Ramadan.

“Saya tak mahu mengulas lebih lanjut kerana bagi saya terlampau banyak flip-flop yang beliau lakukan, bercakap yang bukan-bukan… buang masa saya untuk memberi komen,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Hadi berhubung isu Rumah Bangsa UMNO.

Semalam, Hadi berkata PAS menganggap Rumah Bangsa UMNO sebagai payung buruk yang mengalami banyak kerosakan.

Oleh itu katanya, PAS tidak bersedia untuk memasuki Rumah Bangsa yang ditawarkan oleh UMNO yang bernaung di bawah bumbung yang nyata tidak selamat.

“Lebih berbahaya lagi kalau menjadi laksana rumah yang tidak beratap dan berdinding, yang dimasuki hantu yang menjadi penunggu sehingga membahayakan penghuninya,” katanya dalam tulisan Minda Presiden PAS

Mengulas lanjut Mohamad berkata, UMNO kini dalam suasana harmoni dan dalam usaha membina kembali kekuatannya.

“UMNO kini dalam usaha membina kekuatan untuk bangkit semula bermula dari dalam, sekali gus menjadikan asas utama dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Jika ada pihak yang melabelkan parti kita sebagai rumah hantu, itu terpulang kerana UMNO sekarang dalam keadaan harmoni hasil muhasabah diri,” katanya lagi.

Back to top button