Belum Panas Kerusi, Sudah Sibuk Ukur Tingkap Pejabat

Belum Panas Kerusi, Sudah Sibuk Ukur Tingkap Pejabat

BELUM pun habis rakyat menghadam berita mengenai kemelut politik di Negeri Sembilan, pembangkang sudah meluru ke hadapan dengan sidang media menawarkan formula kerajaan baharu bersama Barisan Nasional (BN).

Begitu pantas. Seolah-olah fail cadangan kerjasama sudah lama tersedia di dalam laci, hanya menunggu masa sesuai untuk dikeluarkan.

Baru sahaja timbul berita penarikan sokongan, terus muncul tawaran kerjasama, lengkap dengan naratif kononnya demi kestabilan.

Rakyat tentu tertanya-tanya. Adakah ini reaksi spontan terhadap perkembangan semasa, atau sememangnya ada pihak yang terlalu lama menunggu retakan kecil untuk terus memanjat masuk?

Dalam politik, merebut peluang bukan perkara asing. Tetapi apabila keterujaan terlalu jelas terpancar, ia bukan lagi kelihatan seperti strategi matang, sebaliknya seperti pihak yang sudah terlalu lama berdiri di luar pintu kuasa dan tidak sabar-sabar mahu masuk walaupun melalui tingkap.

Apa yang lebih menarik, segala-galanya berlaku dalam kadar segera yang luar biasa.

Belum sempat penjelasan menyeluruh diberikan, belum sempat debu politik mendap, sudah ada yang siap menawarkan pelan peralihan kuasa.

Inilah masalah apabila obsesi terhadap kuasa terlalu menebal.

Setiap krisis dilihat bukan sebagai isu yang perlu diteliti dengan cermat, tetapi sebagai peluang keemasan untuk menukar koordinat kerusi pentadbiran.

Politik matang menuntut kesabaran, pertimbangan dan keutamaan terhadap kestabilan.

Tetapi episod ini menampilkan gambaran berbeza, seolah-olah apa sahaja perkembangan politik mesti segera diterjemahkan kepada satu soalan sahaja iaitu boleh tak kami ambil alih?

Pembangkang mungkin menganggap tindakan mereka menunjukkan kesiapsiagaan.

Namun kepada rakyat biasa, ia boleh dibaca jauh lebih mudah: terlalu ghairah, terlalu cepat, dan terlalu jelas nafsu kuasanya.

Ada waktunya dalam politik, bukan semua pintu yang terbuka perlu terus dirempuh. Gelojoh!

Kerana apabila terlalu jelas berlari ke arah kuasa, rakyat akhirnya nampak bukan visi yang dibawa tetapi betapa kuatnya keinginan untuk duduk di kerusi itu.