
Padan muka Trump!
PERMINTAAN Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump agar sekutu-sekutu AS menghantar kapal perang bagi membuka semula Selat Hormuz tidak mendapat sambutan yang diharapkan, mendedahkan jurang antara retorik perang Presiden itu dengan realiti diplomasi antarabangsa.
Beberapa negara utama Eropah dan Asia seperti Jerman, Sepanyol, Perancis, Itali, United Kingdom, Australia dan Jepun secara rasmi menolak sebarang penglibatan ketenteraan di Selat Hormuz, menyatakan bahawa konflik Iran-AS bukan urusan mereka secara langsung.
Keengganan ini berlaku walaupun Trump mendakwa selama ini bahawa AS tidak memerlukan bantuan sekutu dan sentiasa boleh ‘menang bersendirian’.
Ahli diplomasi berkata, kegagalan Trump meyakinkan sekutu menunjukkan bagaimana dasar luar Presiden itu yang lebih menekankan retorik dan tekanan unilateral berpotensi merugikan kredibiliti Amerika.
Malah, keputusan beberapa negara enggan campur tangan ini dilihat sebagai ‘padan muka’ kepada Trump yang sebelum ini kerap sinis terhadap sekutunya di pentas antarabangsa.
“Sekarang, apabila beliau memerlukan bantuan, ramai sekutu yang pernah diperlakukan kasar menolak tawaran itu. Ia menunjukkan kesan jangka panjang dari tindakan dan kenyataan Presiden,” kata penganalisis politik dan penasihat dasar Asia-Pasifik di CSIS, Washington Dr Michael Green.
Trump dilaporkan kecewa kerana beberapa negara yang pernah mendapat perlindungan AS, seperti Britain dan Perancis, enggan ‘bersedia dengan penuh semangat’ seperti yang beliau harapkan.


