
Tol diskaun 50 peratus selama 2 hari sempena Aidilfitri
KERAJAAN hari ini mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Aidilfitri bagi meringankan beban kos perjalanan rakyat yang ingin pulang ke kampung halaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif ini akan membabitkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang.
“Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan untuk memberi diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman.
“Diskaun ini akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026, melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Anwar, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya sepanjang Ramadan dan persediaan menyambut Aidilfitri.
Beliau turut menambah bahawa inisiatif ini melibatkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Selain diskaun tol, kerajaan turut melaksanakan beberapa inisiatif lain termasuk pemberian cuti tambahan Aidilfitri dan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bermula 14 hingga 28 Mac 2026.
Turut diumumkan adalah bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 5.2 juta penerima yang melibatkan peruntukan RM1.3 bilion serta bantuan khas kewangan kepada penjawat awam, pesara, veteran, dan petugas agama seperti imam serta guru KAFA.
Dalam masa yang sama, hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI dilaksanakan sepanjang Ramadan bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga barangan kekal berpatutan.
Bagi memastikan subsidi dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, kerajaan juga menguatkuasakan larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing.


