
Bukan Jumaat, tapi Sabtu sambut 1 Syawal di Malaysia
UMAT Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu, 21 Mac 2026, bersamaan 1 Syawal 1447 Hijrah.
Perkara itu diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad selepas maghrib, semalam.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Sabtu, 21 Mac 2026,” katanya.
Menurutnya, penetapan tarikh Hari Raya Puasa dibuat berdasarkan kaedah rukyah dan hisab yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.
Dalam perkembangan sama, beberapa negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar akan menyambut Aidilfitri pada Jumaat, 20 Mac 2026.
Mahkamah Agung Arab Saudi menetapkan Khamis, 19 Mac, sebagai hari terakhir Ramadan, sekali gus menjadikan Jumaat sebagai 1 Syawal.
Istana Presiden UAE turut memaklumkan bahawa Khamis adalah hari terakhir Ramadan di negara itu.Sementara itu, Jawatankuasa Pencerapan Anak Bulan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar mengumumkan bahawa Khamis merupakan hari ke-30 Ramadan dan Aidilfitri disambut pada Jumaat.


