Madani News

Anwar puji usaha redakan suhu perkauman

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyambut baik usaha perdamaian digerakkan wakil masyarakat Melayu dan India yang menggesa segala isu perkauman dinoktahkan segera.

Perdana Menteri berkata, usaha berkenaan mencerminkan semangat perpaduan rakyat dalam memilih jalan damai, sekali gus menolak perpecahan serta mengangkat nilai saling menghormati dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Saya menyambut baik ikhtiar perdamaian oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili badan Islam dan Hindu sekali gus menjadi suatu cerminan tahap kematangan rakyat dalam memilih jalan damai, menolak perpecahan dan mengangkat semangat saling menghormati.

“Inilah roh dan jiwa sebenar Malaysia, sebuah negara yang teguh berdiri atas nilai ihsan, kebersamaan dan hormat antara kaum.
“Kebersamaan ini mesti terus kita pelihara dan rangkul sebagai asas kekuatan negara,” katanya dalam hantaran Facebook.

Serentak itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pasukan keselamatan yang memainkan peranan dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara.

“Salut saya kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjayakan usaha ini.

“Semoga ikhtiar ini terus menyatukan kita dan menjadi teladan dalam memperkukuh perpaduan nasional,” katanya.

Semalam, beberapa wakil masyarakat Melayu dan India turut menggesa agar semua isu perkauman membabitkan kedua-dua komuniti berkenaan ditamatkan segera melalui pendekatan perdamaian yang menyeluruh.

Menerusi satu sesi dialog yang membabitkan beberapa pertubuhan masyarakat, mereka turut mencapai kata sepakat bahawa rundingan perlu dijadikan jalan utama bagi mencari titik persamaan dalam menyelesaikan sebarang isu yang timbul.

Back to top button