
Konflik Asia Barat: Harga diesel, RON97 naik mendadak
PENGGUNA di Semenanjung bakal berhadapan dengan kenaikan harga bahan api yang drastik bermula tengah malam Khamis apabila harga diesel dan RON97 dilaporkan melonjak naik selaras dengan kenaikan harga minyak mentah global yang kini mencecah AS$100 (RM480) setong susulan krisis Asia Barat.
Menerusi kenyataan rasmi Kementerian Kewangan (MOF) pada Rabu, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia menyaksikan kenaikan sebanyak 80 sen, daripada RM3.92 kepada RM4.72 seliter.
Manakala bagi pengguna petrol premium, harga RON97 turut naik mendadak sebanyak 70 sen kepada RM4.55 seliter.
Walau bagaimanapun, di sebalik lonjakan harga pasaran tersebut, Kerajaan MADANI menerusi inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) mengambil langkah intervensi dengan mengekalkan harga subsidi petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter.
Langkah ini diambil bagi memastikan kos sara hidup isi rumah tidak terjejas secara mendadak, terutama dalam persiapan rakyat menyambut hari raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
“Kerajaan menanggung beban subsidi melebihi RM3 bilion sebulan untuk mengekalkan harga ini demi memastikan kestabilan ekonomi domestik walaupun harga global tidak menentu akibat konflik di Asia Barat,” jelas kenyataan itu.
Bagi penduduk di Sabah, Sarawak, dan Labuan, harga diesel dilaporkan tidak berubah dan kekal pada paras RM2.15 seliter.
Menurut MOF, perbezaan ini adalah kerana faktor kebergantungan tinggi rakyat di wilayah tersebut terhadap pengangkutan darat bagi aktiviti harian.
Bagi mengelakkan kesan rantaian terhadap harga barang, lebih 400,000 kenderaan sektor pengangkutan awam dan barangan (seperti bas, teksi, dan lori) akan terus menikmati harga subsidi melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan petrol (SKPS).
Kementerian Kewangan menegaskan bahawa mereka akan terus memantau situasi geopolitik dunia dan mengambil pendekatan berhemah bagi memastikan rakyat tidak terbeban sepenuhnya oleh turun naik pasaran tenaga global.


