
Anwar jelas punca harga bahan api melambung
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tampil memberikan pencerahan kepada orang ramai mengenai lonjakan harga bahan api tempatan yang mencetuskan keresahan meskipun Malaysia merupakan sebuah negara pengeksport minyak.
Penjelasan tersebut dibuat di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, yang secara langsung memberi kesan kepada kestabilan ekonomi domestik.
Menerusi hantaran di laman sosial, Anwar menegaskan, realiti ekonomi semasa menunjukkan Malaysia sebenarnya mengimport lebih banyak minyak mentah berbanding jumlah yang dieksport.
Mengulas lanjut mengenai faktor gangguan bekalan, beliau berkata, penutupan Selat Hormuz di Iran telah memberi impak besar memandangkan hampir 50 peratus import minyak negara bergantung kepada laluan strategik tersebut.
“Selat Hormuz, laluan utama minyak dunia, terjejas akibat konflik ini. Apabila laluan ini terganggu, bekalan minyak dunia menjadi terhad dan harga melonjak,” katanya.
Anwar turut mendedahkan bahawa kerajaan terpaksa meningkatkan komitmen subsidi secara mendadak dalam tempoh yang sangat singkat demi melindungi kebajikan rakyat.
Menurutnya, jumlah subsidi telah melonjak daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu.
“Rakyat serta majoriti peniaga tidak perlu membayar harga sebenar pasaran kerana subsidi ini disalurkan melalui Budi Madani dan Budi Diesel,” tambah beliau lagi, merujuk kepada mekanisme bantuan bersasar yang dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan beban kenaikan harga pasaran dunia.
Data yang dikongsikan menunjukkan jurang perdagangan komoditi itu cukup ketara apabila tahun lalu Malaysia mengeksport minyak mentah bernilai RM5.5 bilion, namun nilai import mencecah sehingga RM12.6 bilion.
Situasi ini menjelaskan mengapa kenaikan harga minyak dunia tetap memberi tekanan kepada harga runcit di dalam negara.
Sebagai perbandingan, harga bahan api di Malaysia masih berada pada tahap yang jauh lebih rendah berbanding negara jiran.
Sebagai contoh, harga RON95 di Singapura telah mencecah RM10.64 (S3.47)seliter, manakalahargadieseldirepublikitumelonjakkeparasRM11.10(S3.63) seliter setakat 18 Mac lalu.


