Gov News

Kerajaan terpaksa kurangkan subsidi BUDI95 kepada 200 liter

KERAJAAN mengumumkan penyelarasan bagi kuota subsidi bersubsidi BUDI95 dengan mengurangkan had bulanan daripada 300 liter kepada 200 liter bermula 1 April 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa langkah tersebut terpaksa diambil susulan ketidaktentuan situasi peperangan di Asia Barat yang memberi kesan kepada bekalan minyak dan ekonomi dunia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa harga runcit RON95 bersubsidi tetap dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter bagi memastikan beban rakyat tidak bertambah.

Menurut Anwar, penelitian yang dibuat mendapati purata penggunaan bulanan bagi majoriti rakyat hanyalah sekitar 100 liter sahaja.

Data menunjukkan hampir 90 peratus pengguna menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, sekali gus memberi gambaran bahawa sebahagian besar rakyat tidak akan terjejas dengan pelarasan kuota tersebut.

“Kita meneliti penggunaan Budi95 dan mendapati purata penggunaannya sekitar 100 liter sebulan.

“Ini bermakna majoriti rakyat menggunakan hanya 100 liter, malah hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, jadi (majoriti) tidak terjejas,” katanya pada perutusan khas hari ini yang disiarkan secara langsung di Facebooknya.

Beliau menyifatkan keputusan ini sebagai langkah sementara sehingga keadaan ekonomi global kembali pulih, memandangkan buat masa ini belum ada tanda-tanda kestabilan akan dicapai dalam masa terdekat.

Kerajaan memilih untuk mengekalkan harga rendah RM1.99 kerana menyedari manfaat besar yang dinikmati rakyat melalui subsidi tersebut meskipun terpaksa melakukan penyelarasan kuota.

Dalam pada itu, nasib golongan pemandu e-hailing dan pekerja ekonomi gig terus terbela apabila Perdana Menteri mengesahkan kuota bulanan bagi kumpulan berkenaan dikekalkan pada kadar 800 liter sebulan.

Langkah itu diambil setelah mempertimbangkan tuntutan kerja dan mobiliti tinggi yang perlu dihadapi oleh golongan terbabit dalam urusan harian mereka.

Back to top button