
Penunggang motosikal maut dilanggar pemandu mabuk
SEORANG penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu pemandu mabuk di Jalan Raya Barat di Klang, Selangor.
Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, kereta jenis Honda City dipandu laju memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang lelaki itu.
Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa melambung tinggi, berpusing-pusing sebelum terjatuh di atas bumbung sebuah kereta Perodua Myvi dalam kejadian sekitar 11.40 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang.
“Pemandu berkenaan dipercayai telah memotong beberapa kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Tindakan itu menyebabkan kenderaan dipandunya melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.
Jit Huey berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Hasil ujian saringan mendapati pemandu kereta berkenaan positif alkohol dan dadah.
“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Jit Huey berkata, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat,” katanya.


