Madani News

Berapa ramai nyawa akan diragut pemandu mabuk? Laksana hukuman berat

KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa kerajaan agar mempertimbangkan hukuman lebih berat termasuk hukuman mati atau penjara seumur hidup terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut.

Tegasnya, hukuman itu perlu dimaktubkan bagi memastikan pelaku kesalahan menerima hukuman setimpal selain memberi iktibar yang lebih berkesan kepada masyarakat.

Menurutnya, walaupun undang-undang sedia ada di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000, ia masih belum cukup untuk mengekang kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah lebih berani dan tegas. Nyawa manusia tidak boleh terus dipertaruhkan dengan hukuman yang tidak memberi kesan pencegahan yang nyata.

“Sehubungan itu, saya sekali lagi mengemukakan cadangan peendakwaan di bawah Kanun Keseksaan bagi kes melibatkan kematian akibat pemandu mabuk, dengan hukuman yang lebih berat termasuk penjara seumur hidup atau hukuman yang setimpal dengan kesalahan tersebut seperti hukuman mati,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Akmal turut menegaskan, pampasan mandatori yang signifikan kepada keluarga mangsa wajib ditanggung oleh pelaku.

Tegasnya, sekiranya pesalah tidak berkemampuan, mekanisme tanggungan alternatif termasuk penglibatan keluarga pelaku perlu dipertimbangkan secara adil dan berperundangan.

Tambahnya, skim khairat kematian berpusat yang diwajibkan kepada semua pemegang lesen memandu juga wajar diperkenalkan bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada keluarga mangsa tanpa birokrasi yang melambatkan.

“Kita tidak boleh lagi melihat isu ini sebagai kesalahan biasa. Jika kesalahan berkaitan dadah dikenakan hukuman berat kerana merosakkan masyarakat, maka perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sehingga meragut nyawa juga wajar dipandang dengan keseriusan yang sama.

“Saya ingin menggesa Menteri Pengangkutan serta semua Ahli Parlimen tanpa mengira blok politik untuk segera membawa usul dan mengambil tindakan legislatif yang tuntas dalam perkara ini.

“Tolong jangan tunggu lagi! Berapa banyak lagi nyawa tidak bersalah perlu terkorban sebelum kita benar-benar bertindak?

“Nilai sebuah nyawa itu tidak ternilai. Jangan sampai kita hanya tersedar apabila ia melibatkan orang yang kita sayangi. Tepuk dada, tanyalah diri,” katanya.

Back to top button