Penjawat awam BDR 3 hari seminggu mulai 15 April

Penjawat awam BDR 3 hari seminggu mulai 15 April

KERAJAAN membenarkan sebahagian penjawat awam melaksanakan bekerja dari rumah (BDR) selama tiga hari seminggu mulai 15 April ini, tertakluk kepada kriteria tertentu yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kemudahan itu diberikan kepada pegawai yang bertugas di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta semua ibu negeri, dengan jarak perjalanan sehala dari rumah ke pejabat melebihi lapan kilometer.

Beliau berkata, ketetapan itu dimaklumkan menerusi surat edaran pelaksanaan BDR yang dikeluarkan hari ini.

Pelaksanaan langkah berkenaan dibuat susulan perkembangan konflik di Asia Barat dan dilaksanakan berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR4.1.2: Dasar BDR yang memperuntukkan dasar, syarat serta peraturan berkaitan.

Bagaimanapun, pelaksanaan BDR tidak melibatkan tiga sektor utama iaitu keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.

Menurut surat edaran berkenaan, bagi negeri yang menjadikan Ahad sebagai hari kelepasan mingguan, BDR akan dilaksanakan pada Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari.

Bagi negeri yang menjadikan Jumaat sebagai hari kelepasan mingguan iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, BDR ditetapkan pada Isnin hingga Rabu secara sepenuh hari.

Sepanjang tempoh BDR, pegawai hanya dibenarkan bekerja dari rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS).

Pegawai juga perlu menggunakan Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik (SPOT-Me) bagi merekod kehadiran melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih dari rumah.

Selain itu, pegawai dikehendaki mendaftar masuk dalam sistem SPOT-Me setiap satu jam, manakala ketua jabatan bertanggungjawab memantau keberadaan pegawai sepanjang tempoh pelaksanaan BDR.