BEKAS Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang keluar daripada Bersatu tiga tahun lalu kini kembali menjadi ahli UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu antara 21,858 ahli baharu yang diterima masuk dalam UMNO sejak sistem pendaftaran atas talian diperkenalkan.
Pada September 2018, Mustapa mengumumkan keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu dan menyertai Bersatu sebelum keluar parti pada 2023.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO menerima seramai 21,858 kemasukan ahli baharu dalam tempoh kurang dua bulan sejak sistem pendaftaran atas talian diperkenalkan.
Menurutnya, ia termasuk penyertaan semula bekas pemimpin UMNO yang sebelum ini bersama Bersatu.
โDalam tempoh tidak sampai dua bulan, pendaftaran ahli baharu dan kemasukan kembali bekas-bekas pimpinan dan ahli-ahli parti UMNO termasuk pimpinan parti Bersatu seluruh Malaysia berjumlah 21,858 orang.
โMoga Allah berkati dan rahmati Rumah Bangsa ini yang banyak jasanya dalam mencorakkan dan memartabatkan Agama, Bangsa dan Tanahair sepanjang lapan dekad di persada perjuangan,โ katanya di Facebook, hari ini.
Antara bekas pemimpin yang sudah kembali ke Rumah Bangsa termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan pemimpin vateran juga bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sebelum ini digantung keahliannya sejak 2023 juga sudah diterima kembali ke dalam parti itu.
Inisiatif Rumah Bangsa dilaksana UMNO bagi memberi peluang kepada semua bekas ahli dan pemimpinnya yang pernah keluar, dipecat dan digantung keahliannya supaya kembali ke perjuangan UMNO.




