Bahtera yang retak sukar mengemudi negara

Bahtera yang retak sukar mengemudi negara

Najamuddin Mohd Nor

DALAM dunia politik, kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya diukur melalui jumlah kerusi atau populariti pemimpinnya. Lebih penting daripada itu ialah kesatuan fikrah, kesepaduan kepimpinan dan kejelasan hala tuju.

Sebuah organisasi yang sentiasa bergelut dengan pertikaian dalaman ibarat bahtera yang retak di tengah lautan; mungkin masih mampu belayar, tetapi sukar untuk sampai ke destinasi yang ditetapkan.


Menjelang PRU16, UMNO dilihat semakin memperkemaskan saf perjuangannya menerusi gagasan Rumah Bangsa. Kempen ini bukan sekadar usaha mengembalikan bekas ahli dan pemimpin, malah membawa mesej penyatuan, pendamaian dan pengukuhan organisasi selepas melalui pelbagai cabaran politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Sebaliknya, Perikatan Nasional sering dikaitkan dengan perbezaan pendapat yang semakin ketara antara komponen dan pemimpinnya. Walaupun perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam politik, perselisihan yang berpanjangan boleh menimbulkan persoalan mengenai keupayaan sesebuah gabungan untuk menawarkan kestabilan pentadbiran kepada negara.


Hakikatnya, negara tidak boleh diurus berdasarkan emosi, reaksi spontan atau pertelingkahan yang tidak berkesudahan. Pentadbiran negara memerlukan keputusan yang pantas, dasar yang konsisten dan kesepakatan dalam kalangan pemimpin.

Pelabur memerlukan keyakinan. Penjawat awam memerlukan arahan yang jelas. Rakyat memerlukan kerajaan yang fokus kepada pembangunan, bukannya kerajaan yang sentiasa sibuk menyelesaikan konflik dalaman.


Sejarah dunia membuktikan bahawa banyak kerajaan gagal bukan kerana kekurangan idea, tetapi kerana kegagalan pemimpinnya mencapai kesepakatan. Apabila terlalu banyak masa dihabiskan untuk mempertahankan kedudukan politik dan meleraikan pertikaian dalaman, tumpuan terhadap pembangunan negara akan terabai.


Sebuah kapal yang besar memerlukan seorang nakhoda dan anak kapal yang bergerak dalam satu arah. Jika setiap orang mahu menentukan haluan sendiri, kapal itu bukan sahaja hilang arah, malah berisiko dilambung ombak sehingga karam.

Begitu juga dalam politik. Perpecahan yang berterusan mungkin memberi ruang kepada pihak lawan, tetapi yang lebih membimbangkan ialah kesannya terhadap kestabilan negara.


Atas sebab itulah usaha memperkukuh organisasi melalui penyatuan semula ahli, memperbaiki hubungan sesama pemimpin dan membina semangat kekitaan menjadi amat penting. Sesebuah parti yang bersatu akan lebih mudah merangka dasar, membuat keputusan dan memimpin negara dengan penuh keyakinan.


Dalam konteks politik semasa, naratif yang sedang dibina oleh UMNO melalui Rumah Bangsa adalah bahawa kekuatan bermula daripada kesatuan. Sebuah rumah yang kukuh dibina atas tiang yang tegap dan penghuni yang saling mempercayai.

Sebaliknya, sebuah bahtera yang sarat dengan pertelingkahan akan sentiasa bergelut untuk mengekalkan keseimbangan, apatah lagi untuk mengemudi negara menuju destinasi yang lebih makmur dan sejahtera.

Justeru itu, rakyat wajar menilai dengan matang perkembangan politik semasa dan melihat rekod serta keupayaan sesebuah parti dalam mengekalkan kestabilan organisasi.

Sebuah parti yang sering dilanda pertelingkahan, perpecahan dan perebutan kuasa sukar meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mengurus negara dengan berkesan. Politik yang terlalu banyak diwarnai konflik dalaman hanya akan mengalih perhatian daripada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, rakyat perlu memberi keutamaan kepada parti yang mampu mempamerkan kesatuan, kematangan kepimpinan dan hala tuju yang jelas, serta menolak budaya politik yang menjadikan perebutan kuasa sebagai keutamaan mengatasi kepentingan negara.