Khairy kagum daya tahan, karisma Anwar

Khairy kagum daya tahan, karisma Anwar

BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kagum dengan daya tahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengharungi cabaran politik tanah air.

Khairy, atau lebih dikenali sebagai KJ, secara terbuka meluahkan rasa kagumnya terhadap kekuatan mental dan fizikal yang dimiliki oleh Perdana Menteri ke-10 itu, yang menyifatkannya sebagai satu ciri unik yang tidak ada pada semua orang.

Membandingkan pengalaman peribadinya selepas dipecat daripada UMNO, Khairy mengakui fasa tersebut amat sukar untuk dilalui. Bagaimanapun, beliau menganggap ujian yang menimpa Anwar jauh lebih ekstrem dan mencabar.

“Banyak benda yang saya tidak setuju dengan Datuk Seri Anwar. Kalau orang tanya saya apa ciri-ciri beliau yang paling saya kagum? Ramai akan kata karisma, oriental, atau ketegasannya di peringkat antarabangsa.

“Tapi bagi saya adalah daya tahan. Saya baru tiga tahun kena buang parti dan saya rasa betapa susahnya untuk membina platform digital serta perniagaan untuk kelangsungan hidup. Bulan-bulan pertama saya dipecat, tiada siapa yang jawab telefon saya.

“Namun, Datuk Seri Anwar dihumban ke dalam penjara, diaibkan di depan seluruh dunia… tetapi beliau masih lagi tidak berputus asa,” katanya seperti dilaporkan Utusan TV.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan bahawa untuk melahirkan seorang pemimpin yang kental, individu tersebut perlu diuji dengan pelbagai kesusahan dan rintangan yang getir.

Jelasnya, sejarah membuktikan hampir kesemua pemimpin utama negara pernah melalui fasa gelap dalam kerjaya politik mereka sebelum bangkit semula.

Khairy berkata, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah digugurkan daripada Kabinet oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika krisis Team A dan Team B pada tahun 1987.

Manakala, Datuk Seri Najib Razak kini sedang melalui fasa paling mencabar dalam hidupnya di hujung kerjaya politik beliau.

Anwar pula berdepan fasa paling ekstrem merangkumi pemecatan, pengaibkan, dan hukuman penjara sebelum diangkat sebagai “PMX”.

“Sama ada setuju atau tidak, sama ada beliau bagus atau tidak sebagai PM, itu kita tolak ke tepi. Tetapi dari segi daya tahan, saya memang kagum.

“Politik bukan kerjaya main-main, ia adalah kerjaya yang serius. Kita boleh hilang segala-galanya dalam sekelip mata sahaja,” katanya