Alhamdulillah letaklah jawatan segera- Tok Mat cabar Nga Kor Ming

Alhamdulillah letaklah jawatan segera- Tok Mat cabar Nga Kor Ming

BARISAN Nasional (BN) menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang mahu meletakkan jawatan sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Mohd Najib Razak dibebaskan sebagai satu perkara yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan pilihan raya tersebut.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun secara terbuka mencabar hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sekiranya beliau benar-benar serius dengan kenyataannya.

“Alhamdulillah. Letaklah jawatan. Memang pun kita nak dia letak jawatan. Apa kena-mengena perihal negeri Johor dengan Datuk Seri Najib? Itu Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerajaan negeri. Kalau BN menang di Johor, kita buat tubuh kerajaan negeri sahaja. Kerajaan negeri tak ada kena-mengena dengan hal-hal Persekutuan,” katanya.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat turut mengingatkan Kor Ming agar tidak bercakap besar dan menegaskan BN tidak mempunyai masalah sekiranya beliau mahu berundur.

“Jadi janganlah cakap besar sangat. Saya tak mahu menyentuh orang, tetapi kalau dia dah mencabar-cabar kita, kalau dia nak letak jawatan, letaklah jawatan segera. Tak ada masalah bagi kita,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program kempen PRN Johor bersama penduduk di DUN Simpang Jeram bersama calon BN, Datuk Azman Ismail, di Muar.

Terdahulu, dalam satu temu bual eksklusif bersama portal Oriental Daily, Kor Ming dilaporkan sedia menjadi individu pertama yang meletakkan jawatan dalam kabinet sekiranya Najib dibebaskan daripada tuduhan tanpa sebarang kesalahan.

Malah, beliau turut menyatakan bahawa DAP tidak menolak kemungkinan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya senario itu berlaku, sambil menyifatkan isu penahanan Najib sebagai “garis merah” buat parti tersebut.

Kor Ming dalam masa yang sama mendakwa UMNO Johor kerap menyuarakan hasrat agar bekas Perdana Menteri itu dibebaskan lebih awal, dengan memetik slogan “UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah” sebagai agenda utama mereka