Kes tikam di sekolah: Henti sebar spekulasi – Fadhlina

Kes tikam di sekolah: Henti sebar spekulasi – Fadhlina

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek, menggesa orang ramai agar menghentikan penyebaran berita palsu mahupun sebarang rekaan fitnah berhubung insiden terbaharu yang melibatkan sebuah sekolah, baru-baru ini.

Menurut beliau, kes tersebut kini berada di bawah siasatan penuh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Beliau turut mengesahkan telah berada di lokasi kejadian bagi meninjau situasi berkenaan secara dekat.

“Saya mohon orang ramai tidak menyebarkan berita palsu atau merekayasa fitnah memandangkan kes ini sedang disiasat oleh pasukan PDRM,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Fadhlina menjelaskan bahawa pihak berkuasa telah mengambil tindakan pantas dengan melaksanakan semua langkah keselamatan yang diperlukan bagi mengawal keadaan di tempat kejadian, termasuk menahan suspek yang terlibat.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai identiti suspek dan punca kejadian masih belum diperincikan demi menghormati proses siasatan yang sedang berjalan.

Mengulas mengenai tindakan susulan pihak Kementerian Pendidikan KPM, Fadhlina menegaskan fokus utama kementerian ketika ini adalah memberikan bantuan menyeluruh kepada mangsa dan seluruh warga sekolah.

Katanya, kementerian akan memastikan mangsa yang terkesan menerima rawatan segera dan terbaik serta memberi sokongan kesihatan mental dan emosi para pelajar, guru, serta pihak pengurusan sekolah.

“Semoga tuan pengetua, para guru yang kami kasihi dan anak-anak pelajar semuanya diberikan kesabaran dan kekuatan menghadapi ujian ini,” ujarnya lagi.

Fadhlina memberi jaminan akan berkongsi perkembangan terkini kes berkenaan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada kebenaran dan kelulusan daripada pihak berkuasa.