PEMBEBASAN bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya boleh dibuat melalui pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong bukannya pilihan raya.
Oleh itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru pihak lawan supaya berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara berhemah
“Kempenlah secara berhemah! Sejak bila pembebasan seseorang ditentukan melalui pilihan raya?
“Datuk Seri Najib hanya boleh bebas dengan kuasa mutlak pengampunan YDP Agong mengikut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah pencetus untuk BN kembali berkuasa dan membebaskan bekas perdana menteri itu.
Oleh itu kata Anwar, PH sengaja ‘diheret’ masuk ke dalam PRN Johor yang diadakan lebih awal bagi memenuhi agenda BN.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, BN bertindak membubarkan Kerajaan Negeri Johor ekoran rasa keyakinan melampau bahawa mereka sudah cukup kuat untuk kembali berkuasa mutlak seperti dahulu.
“Pilihan raya tak perlu sekarang, dia (BN) paksa juga. Untuk apa? Sekarang kita dah tahu, sebab mereka rasa mereka cukup kuat nak berkuasa kembali seperti dulu, kemudian tentunya nak bebaskan Datuk Seri Najib,” katanya ketika berkempen di Johor.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan kuasa untuk membebaskan Najib daripada hukuman penjara terletak pada kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Oleh itu katanya, adalah tidak berasas jika mengaitkan perkara tersebut dengan mana-mana parti politik.
“Pada pandangan saya, kuasa membebaskan seseorang di penjara itu ialah Lembaga Pengampunan, kuasa Agong.
“Tidak ada kena mengena dengan politik,” katanya.



