Baguslah, respon ringkas Zahid terhadap kempen PAS

Baguslah, respon ringkas Zahid terhadap kempen PAS

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik kesediaan PAS membantunya membentuk kerajaan Johor jika gabungan berkenaan gagal memperoleh majoriti mudah pada PRN Sabtu ini.

“Baguslah, baguslah, insya-Allah,” katanya ringkas ketika ditemui selepas satu program di Kluang, hari ini.

Semalam, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, partinya sedia menyumbang kerusi jika BN gagal memperoleh majoriti mudah pada PRN Johor.

Beliau berkata PAS juga tidak akan menuntut jawatan menteri besar atau exco kerajaan negeri yang boleh dianggotai oleh wakil rakyat BN secara keseluruhan.

Namun rakan PAS dalam Perikatan Nasionl (PN), Bersatu menegaskan tiada keputusan dibuat untuk menyokong BN atau Pakatan Harapan (PH) sekiranya keputusan DUN Johor tergantung selepas PRN.

Ketua Penerangannya Tun Faisal Ismail Aziz berkata setakat pengetahuannya, Majlis Tertinggi PN tidak pernah membuat sebarang ketetapan mengenai perkara terbabit.

Beliau menjelaskan sebarang kenyataan mengenai sokongan kepada Umno atau BN, mahupun DAP atau PH, hanya pendirian pihak tertentu.

Bagaimanapun Sin Chew pula melaporkan, pendirian Pengerusi BN Johor Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi yang PAS tidak akan menjadi sebahagian kerajaan Johor jika parti itu kembali memerintah.

Onn Hafiz memberi jaminan kepada rakyat Johor bahawa PAS sama sekali tidak akan menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan ‘dalam apa jua keadaan sekalipun’.