DUA individu pertama ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan khas susulan penubuhan pasukan khas untuk menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Berita Harian yang memetik sumber melaporkan, mereka yang ditahan membabitkan seorang pengarah syarikat reka bentuk dan bekas pengurus ladang, masing-masing disyaki terbabit dalam kes rasuah serta penyelewengan kontrak bernilai kira-kira RM8 juta.
Pengarah syarikat reka bentuk berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 7.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Menurut sumber, suspek disyaki memberi rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 kepada seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah badan berkanun sebagai balasan untuk memperoleh projek bernilai keseluruhan sekitar RM8 juta.
Kesalahan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2014 hingga 2018 melalui pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO berkenaan yang dianggarkan bernilai RM300,000.
Sementara itu, seorang lagi suspek yang juga bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah ditahan kerana disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih getah bernilai kira-kira RM8 juta.
Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu dipercayai melakukan penyelewengan membabitkan projek pembekalan anak benih di dua syarikat perladangan yang merupakan anak syarikat kepada badan berkanun berkenaan antara tahun 2015 hingga 2017.
Beliau turut ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM malam semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan kedua-dua tangkapan berkenaan.
Beliau berkata, kes membabitkan pengarah syarikat reka bentuk disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009, manakala kes bekas pengurus ladang disiasat mengikut Seksyen 18 akta yang sama.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan reman selama dua hari terhadap pengarah syarikat reka bentuk itu, manakala bekas pengurus ladang berkenaan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.




