ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menegaskan tiada sebarang usaha atau perbincangan untuk membawa Pakatan Harapan (PH) menyertai kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, dakwaan berhubung perkara itu tidak berasas dan menegaskan tiada sebarang rundingan mengenainya.
“Berkenaan isu ada ura-ura perbincangan membawa Pakatan Harapan dalam kerajaan, saya ingin menegaskan langsung tiada perbincangan, titik,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Mohd Asna turut menolak dakwaan Tan Sri Rais Yatim yang mendakwa wujud campur tangan pihak luar dalam urusan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan susulan pertemuan Presiden UMNO, Datuk Dr Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum pelantikan dibuat.
Menurutnya, Ahmad Zahid bertindak mengikut lunas undang-undang serta menghormati institusi Raja dan adat Negeri Sembilan.
Katanya, selepas senarai calon Menteri Besar diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, keputusan pemilihan diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara baginda.
“Amalan ini bukan sahaja dilakukan di Negeri Sembilan, malah turut dipraktikkan di semua negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional,” katanya.
Mohd Asna berkata, semua pihak sewajarnya menghormati keputusan yang telah dibuat dan memberi ruang kepada Menteri Besar untuk melaksanakan tanggungjawab mentadbir negeri.
Beliau turut mengingatkan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan agar semua pihak mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik atau peribadi.
“Marilah kita memberi tumpuan kepada pembangunan negeri dan bekerjasama menunaikan manifesto pilihan raya demi kebaikan rakyat,” katanya.




