Status pelunasan zakat Tabung Haji sah, sempurna

Status pelunasan zakat Tabung Haji sah, sempurna

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menegaskan status pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah dan dilaksanakan dengan sempurna.

TH dalam kenyataan berkata, Jawatankuasa Penasihat Syariah TH dalam mesyuaratnya pada 2 September 2020 berpandangan status pembayaran zakat bagi pendeposit pada tahun sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.

“Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 3 Mei 1979 menetapkan bahawa TH adalah institusi yang tidak wajib zakat ke atasnya tetapi TH wajib membayar zakat bagi pihak pendeposit.

“Oleh itu, TH secara konsisten menunaikan kewajipan membayar zakat bagi pihak pendeposit selaras dengan ketetapan ini,” kata kenyataan itu, seperti dilapor Berita Harian.

Berhubung pembayaran zakat bagi tahun-tahun semasa kontrak Wadiah Yad Damanah digunakan (2016-2019), menurut TH, zakat dikeluarkan adalah zakat perniagaan (secara khultah) bagi pihak pendeposit ke atas kumpulan wang pendeposit yang diniagakan.

Katanya, ia adalah berasaskan kepada pertimbangan iaitu yang pertama TH tidak diwajibkan zakat keatasnya; kedua, TH tidak mempunyai pemegang saham; dan ketiga, keseluruhan aset yang diniagakan TH adalah dijana sepenuhnya daripada dana pendeposit.

“Oleh yang demikian, semua zakat yang dibayar TH pada setiap masa adalah bagi pihak pendeposit.

“Pendeposit tidak lagi perlu mengeluarkan zakat ke atas dana deposit sama selepas TH melunaskan zakat bagi pihak mereka kerana ianya akan mengakibatkan pertindihan zakat ke atas harta yang sama, yang tidak selaras dengan prinsip Syariah,” katanya.

Merujuk kepada syor Suruhanjaya Siasatan DiRaja TH supaya perkara berkaitan amalan zakat TH dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, TH menegaskan bahawa amalan zakat TH dibentangkan dan diperakui oleh Jawatankuasa Muzakarah tersebut pada Jun 2024.

“Pandangan Jawatankuasa Muzakarah itu seterusnya disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja Raja yang ke-267 pada Oktober 2024.

“TH ingin memaklumkan bahawa keseluruhan operasi dan tadbir urus zakat TH adalah berpandukan Garis Panduan Zakat yang telah diluluskan dan dipantau oleh jawatankuasa (penasihat syariah) TH yang dianggotai pakar-pakar syariah dan kewangan Islam,” katanya.