Alat pacu berjaya dipasang pada jantung Ismail Sabri

Alat pacu berjaya dipasang pada jantung Ismail Sabri

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disahkan berjaya menjalani prosedur pemasangan alat pacu jantung (leadless pacemaker) di Institut Jantung Negara (IJN), petang tadi.

Perkara itu dimaklumkan KJN dalam satu kenyataan yang menjelaskan prosedur itu dilakukan bagi merawat masalah rentak jantung tidak normal yang dialami Ahli Parlimen Bera itu.

Menurut IJN, Ismail Sabri kini berada dalam keadaan stabil namun dinasihatkan supaya berehat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.

“Sehubungan itu, lawatan ke atas beliau dihadkan kepada ahli keluarga terdekat sahaja bagi membantu proses pemulihan serta memastikan privasi beliau terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

IJN turut memohon kerjasama media dan orang ramai supaya menghormati privasi Ismail Sabri serta keluarganya sepanjang tempoh pemulihan.

Menurut kenyataan itu lagi, sebarang perkembangan lanjut mengenai keadaan beliau akan dimaklumkan melalui saluran rasmi yang diberi kuasa.

Terdahulu, pendakwaa terhadap Ismail Sabri Yaakob yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan ke 27 Ogos ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail Sabri memohon penangguhan berikutan anak guamnya berada di Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.

“Memandangkan tertuduh kini berada di IJN kerana isu kesihatan, termasuk permohonan penangguhan oleh pembelaan serta pendakwaan, mahkamah membenarkan prosiding pembacaan pertuduhan termasuk pengambilan pengakuan akan dilakukan tiga minggu lagi,” katanya.

Berdasarkan sistem kehakiman, pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu sepatutnya dibacakan di hadapan pada jam 10 pagi.