Kemenangan BN bukan alasan berhenti belajar – Zahid

Kemenangan BN bukan alasan berhenti belajar – Zahid

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak seharusnya menjadi alasan untuk parti itu berhenti menilai serta memahami perubahan kehendak rakyat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepercayaan rakyat bukan sesuatu yang boleh dianggap kekal, sebaliknya perlu terus dipertahankan menerusi prestasi, kerja konsisten dan keupayaan memahami denyut nadi rakyat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri BN Forum Siri Ke-11 yang membincangkan topik ‘Pasca PRN Johor dan Negeri Sembilan: Dinamika Baharu Politik Malaysia?’.

Menurutnya, keputusan pilihan raya perlu dilihat sebagai amanah untuk terus mendengar suara rakyat, memahami perubahan serta memperbaiki kelemahan.

“Alhamdulillah, rakyat telah memberikan kepercayaan yang besar kepada BN dalam kedua-dua pilihan raya tersebut.

“Namun kemenangan tidak seharusnya membuatkan kita berhenti bertanya, menilai dan belajar. Di sebalik setiap keputusan pilihan raya, ada suara rakyat yang perlu didengar, perubahan yang mesti difahami dan amanah yang perlu diterjemahkan melalui kerja,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, politik negara kini semakin dinamik, manakala pengundi pula semakin matang dalam menentukan pilihan.

Katanya, BN perlu terus menyuburkan budaya mendengar, menilai kelemahan dan membaca perubahan, bukan sekadar bercakap mengenai pembaharuan.

“Tahniah kepada semua kerana berjaya membawa BN Forum sehingga ke siri ke-11. Sambutan yang terus diberikan membuktikan bahawa ruang wacana terbuka dan berilmiah seperti ini masih penting dalam ruang perbincangan politik nasional.

“Inilah budaya yang mahu terus kita suburkan dalam BN — bukan sekadar bercakap tentang perubahan, tetapi berani mendengar, menilai kelemahan, membaca perubahan dan memperbaiki diri untuk kelangsungan masa hadapan,” katanya.

Zahid berkata, kemenangan perlu disyukuri manakala segala kekurangan mesti dijadikan ruang untuk melakukan penambahbaikan.

“Kemenangan kita syukuri. Kekurangan kita insafi. Kepercayaan rakyat terus kita santuni.

“Kerana akhirnya, better politics must ultimately create a Better Nation. Insya-Allah,” katanya.