CHINA memuji pendirian teguh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung prinsip ‘Satu China’ susulan kenyataan beliau mengenai isu Taiwan baru-baru ini.
Jurucakap Kementerian Luar China menerusi hantaran di X pada Rabu berkata, Beijing menghargai kenyataan Anwar serta pendirian beliau yang konsisten terhadap prinsip berkenaan.
“China memuji kenyataan PM Malaysia @anwaribrahim mengenai isu Taiwan dan pendirian teguh beliau terhadap prinsip ‘Satu China’.
“Tiada apa yang dapat menghalang penyatuan semula China,” menurut kenyataan itu.
Kementerian berkenaan turut menegaskan komitmen masyarakat antarabangsa terhadap prinsip ‘Satu China’ tidak akan berubah.
Dalam pada itu, Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian ketika mengulas kenyataan Anwar pada sidang media harian di Beijing, Rabu, berkata pendirian mempertahankan prinsip ‘Satu China’ mencerminkan sentimen rakyat serta berada di pihak yang benar.
“Hanya ada satu China di dunia, dan Taiwan adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada wilayah China,” katanya seperti dilaporkan Xinhua.
Sebelum ini, dalam wawancara bersama Al Jazeera, Anwar berkata Malaysia melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China.
“Ia adalah satu China. Ia diterima oleh semua,” katanya.
Kenyataan Anwar itu mendapat perhatian Beijing yang melihat pendirian berkenaan selari dengan prinsip ‘Satu China’ yang menjadi dasar utama hubungan diplomatik China dengan negara-negara lain.


