KERAJAAN Madani tidak menutup ruang untuk memperkemas sistem percukaian negara, termasuk meneliti beberapa elemen daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), namun tidak bercadang mengembalikan GST seperti pelaksanaan terdahulu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan terhadap Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) boleh dipertimbangkan bagi memastikan sistem percukaian negara lebih berkesan dan progresif.
Menurut beliau, kerajaan juga boleh mengambil komponen tertentu yang pernah terdapat dalam GST sekiranya ia bersesuaian, khususnya dalam aspek berkaitan pembayaran elektronik.
Namun, katanya, sebarang perubahan perlu berlandaskan prinsip utama Kerajaan MADANI iaitu memastikan golongan miskin dan berpendapatan rendah tidak terbeban dengan cukai tambahan.
“Kita boleh melakukan penyesuaian terhadap SST atau mengambil beberapa komponen GST, tetapi prinsip asasnya adalah tidak mengenakan cukai kepada golongan yang sangat miskin.
“Justeru, GST sebagai satu prinsip tidak boleh dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan TikTok Summit Malaysia 2026 pada Khamis.
Anwar berkata, kerajaan tidak bersedia menerima semula asas GST kerana sistem berkenaan bersifat cukai meluas yang turut memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.
Beliau menegaskan, perlindungan terhadap kumpulan berpendapatan rendah akan kekal menjadi pertimbangan utama dalam usaha kerajaan memperkukuh sistem percukaian.
Pada Selasa lalu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan terbuka mengkaji kemungkinan menggabungkan elemen SST dan GST bagi menghasilkan sistem percukaian yang lebih progresif.
Bagaimanapun, SST akan kekal sebagai asas sistem percukaian semasa, dengan kerajaan hanya mempertimbangkan ciri tertentu GST yang dilihat mampu memperbaiki keberkesanan kutipan hasil tanpa menjejaskan kebajikan rakyat berpendapatan rendah.-




