MAJLIS Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri, kata Jabatan Peguam Negara (AGC).
Jabatan itu berkata, perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas penyandang kedua-dua jawatan berkenaan masing-masing terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Katanya, perkara itu sebagaimana termaktub dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Berhubung dengan Kenyataan Media Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 22 September 2026 mengenai penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang berkuat kuasa serta-merta.
“Jabatan ini berpandangan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang kedua-dua jawatan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
AGC berkata, bidang kuasa berhubung kedua-dua jawatan berkenaan adalah tertakluk kepada peruntukan Perkara 37 UUTKNS.
Bagi pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu pula, katanya, pelantikan itu hendaklah mematuhi Perkara 37 UUTKNS.
“Pelantikannya hendaklah dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan AGC hari ini susulan kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 22 September 2026 mengenai penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang berkuat kuasa serta-merta.




