MANA-MANA parti politik yang berminat menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) boleh diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan nanti.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama atau hala tuju politik negeri masih belum ditentukan pada ketika ini.
Menurutnya, perbincangan dengan parti politik terbabit akan dinilai berdasarkan tawaran yang dikemukakan serta kepentingan pentadbiran dan rakyat Melaka.
“Pastinya akan ada rundingan dengan mana-mana parti yang terbabit dan akan menilai perbincangan itu menerusi tawaran yang diberikan.
“Yang paling utama bukan untuk kepentingan saya, tetapi bagaimana kita nak menguruskan negeri ini untuk rakyat Melaka, demi rakyat dan untuk rakyat,” katanya selepas mengumumkan pembubaran DUN Melaka di Auditorium Seri Negeri, di Ayer Keroh pada Selasa.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, beliau terlebih dahulu mahu menyelesaikan urusan pembubaran DUN sebelum membincangkan soal kerjasama dengan parti politik.
“Kita selesaikan yang ini (urusan pembubaran DUN) dululah, selepas itu nanti baru kita cerita pasal (persefahaman dengan) parti, mana hala tuju kita,” katanya.
Mengenai kemungkinan mengekalkan barisan pentadbiran dan calon sedia ada bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan.
Katanya, keputusan berkenaan perlu mengambil kira pelbagai faktor dan tidak boleh dibuat pada hari pengumuman pembubaran DUN.
“Itu saya tak boleh jawab sekarang. Kita akan ambil banyak faktor, tak bolehlah hari ini saya beritahu, hari ini saya umum bubar sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf menyerahkan warkah proklamasi pembubaran DUN Melaka kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Rudy Rohan Johan, selepas sidang media berkenaan.
Penyerahan itu disaksikan Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh.



