Penantian 36 tahun berakhir, sepak takraw raih emas Sukan Asia

Penantian 36 tahun berakhir, sepak takraw raih emas Sukan Asia

PENAMPILAN penuh berdisiplin skuad sepak takraw negara akhirnya membuahkan hasil apabila Malaysia menewaskan Thailand 2-0 dalam acara regu berpasukan untuk menghadiahkan emas keempat negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Lebih bermakna, kejayaan di Paloma Mizuho Arena itu menamatkan kemarau 36 tahun Malaysia dalam acara berkenaan, selepas kali terakhir merangkul emas ketika Sukan Asia Beijing 1990.

Malaysia tidak perlu menunggu sehingga regu penentuan apabila dua kemenangan berturut-turut sudah memadai untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara.

Regu pertama yang dibarisi Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias terlebih dahulu mencuri mata penting selepas menundukkan gandingan Thailand 15-9, 5-15, 15-11 dalam aksi tiga set.

Kemenangan itu kemudian disusuli Muhammad Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifudin Razali yang tampil tenang untuk menewaskan regu kedua Thailand 15-13, 15-11 sekali gus memastikan Malaysia menang 2-0.

Kejayaan berkenaan turut menjadi momen penebusan buat anak buah Ahmad Jais Baharun selepas Thailand menafikan mereka kejuaraan pada final Piala Raja Thai di Bangkok bulan lalu.

Ia juga meneruskan momentum positif skuad negara terhadap lawan sama selepas Malaysia menewaskan Thailand pada final Piala Dunia di Stadium Titiwangsa, Mei lalu.

Dengan tambahan satu emas daripada sepak takraw, Malaysia kini mengumpul empat emas, satu perak dan lima gangsa untuk berada di tangga ke-10 carta pungutan pingat setakat jam 3.30 petang.