Akaun bank dibeku, Najib tak mampu bayar denda RM50 juta – Peguam

Akaun bank dibeku, Najib tak mampu bayar denda RM50 juta – Peguam

DATUK Seri Najib Razak tidak mampu membayar denda RM50 juta yang dikenakan sebagai salah satu syarat untuk membolehkannya menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, berkata Najib tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menjelaskan denda berkenaan susulan pembekuan beberapa akaun miliknya.

“Setakat hari ini, Datuk Seri Najib sendiri tidak mampu membayarnya.

“Akaun bank Najib dibekukan, termasuk akaun Affin Bank yang menurutnya digunakan untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak pernah meminta sumbangan daripada orang awam untuk membayar denda RM50 juta itu.

“Dia serba salah sebab dia sepatutnya bayar, tetapi dia tidak ada duit,” katanya.