PERTEMUAN Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di Seremban hari ini belum menghasilkan penyelesaian terhadap kemelut yang sedang berlaku di negeri itu.
Perkara itu disahkan Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid yang turut berada di Istana Hinggap selepas sesi menghadap berkenaan.
“Tak selesai lagi,” katanya ringkas ketika ditanya media sama ada perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu sudah mencapai kata sepakat.
Ismail dilaporkan selesai menghadap Tuanku Muhriz selepas kira-kira dua jam, namun Menteri Besar itu tidak keluar melalui pintu utama istana untuk menemui media.
Sebaliknya, kenderaan yang membawa Ismail dilaporkan meninggalkan kawasan istana menerusi laluan belakang.
Sekitar jam 1.50 petang, kenderaan yang membawa Undang Luak Sungei Ujong, Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid turut dilihat meninggalkan pekarangan Istana Hinggap.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad pula mengesahkan pertemuan berkenaan merupakan perbincangan sulit dan pihaknya tidak mempunyai maklumat untuk didedahkan kepada umum.
“Perjumpaan itu adalah satu perjumpaan dan juga perbincangan sulit. Saya di sini tidak akan memberikan apa-apa input kepada pihak media.
“Kalau ada maklumat, kita boleh bekalkan kemudian,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Menurut Alzafny, tumpuan polis sepanjang pertemuan itu adalah memastikan keselamatan dalam negeri, tanpa mengira sama ada terdapat arahan khusus daripada pihak Tuanku atau sebaliknya.
Katanya, aspek keselamatan kekal menjadi tanggungjawab utama pasukan polis dalam memastikan keadaan di Negeri Sembilan terus terkawal.
“Keutamaan kami adalah berkenaan dengan keselamatan dalam negeri,” katanya.
Sehingga kini, Ismail masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung hasil pertemuan tersebut.
Pertemuan itu berlaku ketika kemelut politik dan pentadbiran Negeri Sembilan memasuki fasa penting, khususnya selepas berlaku perkembangan berkaitan barisan EXCO negeri.
Sebelum ini, pelantikan barisan EXCO Negeri Sembilan dilaporkan dibatalkan, namun Ismail kekal menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.
Sesi menghadap hari ini juga berlangsung selepas Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Ismail menghadap Tuanku Muhriz bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut berkenaan.
Perkembangan terbaharu itu kini menjadi perhatian kerana sebarang keputusan berkaitan pentadbiran negeri berpotensi memberi kesan langsung terhadap hala tuju kerajaan Negeri Sembilan.
Namun buat masa ini, persoalan mengenai jalan keluar daripada kemelut berkenaan masih belum terjawab selepas pertemuan kira-kira dua jam itu berakhir tanpa sebarang pengumuman rasmi.




