SERAMAI 1,476 warga Myanmar memulakan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat ke negara asal, hari ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, penghantaran berkenaan merupakan sebahagian daripada program membabitkan 5,000 warga Myanmar yang telah dimuktamadkan untuk dihantar pulang.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan Kerajaan Myanmar untuk menerima mereka serta persetujuan individu terbabit untuk pulang secara sukarela.
“Daripada jumlah tersebut, 5,000 warga Myanmar telah dimuktamadkan untuk menjalani program penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat ke negara asal,” menurut KDN dalam kenyataan pada Selasa.
KDN berkata, seramai 1,476 individu memulakan Fasa Pertama berdasarkan senarai yang dikemukakan Kerajaan Myanmar menerusi Nota Diplomatik rasmi.
Penghantaran dilaksanakan melalui laluan laut menggunakan dua kapal dan sebuah kapal hospital milik Kerajaan Myanmar dengan penyelarasan KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi berkaitan.
Menurut kementerian itu, sehingga 15 Ogos lalu, seramai 10,388 warga Myanmar yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen sedang melalui proses pengesahan identiti, status imigresen dan latar belakang keselamatan.
KDN berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian pendekatan Kerajaan MADANI bagi menangani isu kehadiran pelarian asing di Malaysia yang telah berlarutan sejak beberapa dekad.
Menurutnya, isu berkenaan perlu ditangani secara berfasa berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, pendekatan yang diambil kekal berteraskan nilai Ihsan dan semangat kekeluargaan ASEAN,” katanya.
KDN berkata, tindakan penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan berperikemanusiaan, tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan serta kedaulatan negara.
Menurutnya, rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar dan penguatkuasaan undang-undang turut membolehkan pengurusan warga asing serta individu yang mendakwa sebagai pelarian dilakukan berdasarkan identiti dan status yang telah dikenal pasti.
Fasa penghantaran pulang seterusnya akan diteruskan tertakluk kepada penyempurnaan proses pengenalpastian, dokumentasi dan verifikasi, selain kesiapsiagaan logistik serta penyelarasan operasi antara Malaysia dan Myanmar.
KDN berkata, pelaksanaan fasa pertama itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menangani isu migrasi tidak teratur dan pendatang asing tanpa izin melalui penguatkuasaan undang-undang, penghantaran pulang serta pengurusan dan pendataan yang lebih sistematik.
“Kerajaan MADANI kekal komited untuk memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam berasaskan tatakelola yang baik.
“Kedaulatan undang-undang dan negara akan terus dipelihara, manakala keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” katanya.




