TINDAKAN pelajar tingkatan dua menghisap vape dipercayai menjadi punca dia dipanggil sebelum dipukul pelajar senior di sebuah sekolah berasrama di Kuala Pilah, Jumaat lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mangsa ditangkap warden kerana menghisap vape pada 23 September lalu sebelum tindakan susulan dikenakan oleh pelajar senior terhadapnya.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian melibatkan dua suspek berusia 16 tahun dengan suspek pertama mengarahkan pelajar kedua memanggil mangsa berjumpa dengannya di asrama
“Suspek pertama telah mengarahkan suspek kedua untuk memanggil mangsa berjumpa dengannya di dormnya iaitu di tingkat dua. Mangsa berada di tingkat satu.
“Apabila berjumpa dengan mangsa, suspek kedua telah memukul mangsa terlebih dahulu di dorm dia iaitu di tingkat satu,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini.
Menurut Alzafny, perbuatan itu dipercayai sebagai hukuman susulan yang dikenakan pelajar senior terhadap mangsa selepas dia ditangkap menghisap vape oleh warden sekolah.
Terdahulu, suspek utama iaitu pelajar lelaki berusia 16 tahun direman bermula 26 September hingga 1 Oktober ini. Seorang lagi suspek direman bermula 28 September hingga 3 Oktober dan kedua-duanya direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Alzafny berkata, keputusan bedah siasat awal yang dijalankan di Hospital Tuanku Jaafar di sini pada Sabtu lalu belum dapat menentukan punca kematian mangsa.
Katanya, semakan mendapati mangsa mempunyai sejarah penyakit asma dan mendapatkan rawatan sehingga usia lima tahun.
Setakat ini seramai 68 saksi terdiri daripada 51 pelajar, empat guru dan lima warden asrama memberi keterangan



