Jenazah pelajar tingkatan 4 Irene Sofiya selamat disemadikan

Jenazah pelajar tingkatan 4 Irene Sofiya selamat disemadikan

JENAZAH Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang meninggal dunia disyaki akibat dibunuh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Arshad, sebentar tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah tiba di rumah neneknya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng pada 6.30 petang selepas selesai bedah siasat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

Jenazah Irene Sofiya atau Fiya kemudiannya disolatkan di rumah neneknya dan Masjid Kampung Parit Arshad yang dihadiri lebih 100 jemaah terdiri daripada sanak saudara, kenalan dan penduduk kampung.

Suasana bertukar pilu apabila ada ahli keluarga arwah tidak dapat menahan sebak sebaik jenazah dibawa masuk ke dalam rumah dan memberi peluang ahli keluarga menatap buat kali terakhir.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Batu Pahat membenarkan suspek berusia 16 tahun yang ditahan pada 7 malam semalam direman enam hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dalam kenyataan berkata, polis turut merampas telefon bimbit, sepasang pakaian dan selipar susulan penahanan suspek.