Bekas isteri Najib meninggal dunia

Bekas isteri Najib meninggal dunia

Bekas isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Berita pemergian Allahyarhamah yang berusia 70 tahun dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Najib hari ini.

Menurut hantaran itu, Allahyarhamah pernah menjadi individu yang penting dalam perjalanan hidup bekas Perdana Menteri itu selain merupakan ibu kepada anak-anak mereka.

“Dengan penuh rasa dukacita, kami ingin menyampaikan berita pemergian Allahyarhamah Tengku Puteri Zainah binti Tengku Eskandar, bekas isteri kepada Datuk Seri Najib Razak, yang telah kembali ke rahmatullah.

“Allahyarhamah pernah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidup Datuk Seri Najib dan merupakan ibu kepada anak-anak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, menurut hantaran itu, Najib tidak dapat bersama keluarga pada saat menyedihkan itu berikutan keadaan beliau ketika ini.

Bagaimanapun, ingatan dan doa beliau sentiasa mengiringi anak-anak serta seluruh ahli keluarga Allahyarhamah.

“Walaupun Datuk Seri Najib kini berada dalam keadaan yang tidak memungkinkan beliau bersama keluarga pada saat yang menyedihkan ini, ingatan dan doa beliau sentiasa mengiringi anak-anak serta seluruh ahli keluarga Allahyarhamah.

“Kami mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarhamah, menerima segala amal ibadahnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Tengku Puteri Zainah merupakan isteri pertama Najib sebelum pasangan itu berpisah.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd. Nizar, Nazifuddin dan Puteri Norlisa