UMNO lunas denda Najib pagi tadi

UMNO lunas denda Najib pagi tadi

UMNO mengesahkan sudah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi, sebagai syarat supaya Datuk Seri Najib Razak dapat menjalani tahanan di rumah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata jumlah kutipan dana melalui Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu itu sudah pun mencapai sasaran dan mencukupi.

“UMNO dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai.

“Kini tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam bagi tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, UMNO turut merakamkan penghargaan kepada ahli parti dan orang ramai yang tidak putus-putus menyumbang ke dalam akaun yang disediakan sejak hari pertama.

Terdahulu, peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee, turut mengesahkan bekas Perdana Menteri itu selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, pagi tadi.

“Ya, sudah bayar,” katanya ringkas.

Muhammad Farhan tiba di mahkamah kira-kira 11.30 pagi sambil membawa beg hitam berkunci bagi menyelesaikan urusan pembayaran itu dan melengkapkan prosedur pentadbiran yang diperlukan sebelum pembayaran itu dimuktamadkan.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu surat perintah pembebasan tahanan yang akan diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia.

Pembayaran itu antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 September lalu yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.